Bagaimana Ayah Mendidik Saya Mengenai Wang?
September 6, 2007

Dahulu saya meletakkan sasaran untuk mendirikan rumahtangga ketika umur saya hampir kepada angka 30 tahun. Ditakdirkan saya berkahwin ketika usia 27 tahun dan kini alam rumah tangga saya tempuhi hampir 5 bulan.
Teringat semasa saya mula ingin mengumpul duit kahwin awal tahun lalu. Bagaimana saya berusaha dan bekerja keras untuk mencapai sasaran matlamat kewangan saya. Dalam pada itu, terkenang kembali bagaimana susahnya mak dan ayah saya bekerja keras menyara kehidupan kami 5 adik beradik.
Ketika kecil saya pernah mengikuti mak saya menoreh getah, membantu ayah saya mengutip buah kelapa sawit, mengisi tanah merah ke dalam plastik hitam untuk menanam anak pokok getah, mencuci pakaian di parit waktu ketiadaan air, mengembala kambing, memakai pakaian lusuh ketika menyambut hari raya aidilfitri kerana tidak mampu membeli pakaian baru dan banyak lagi kenangan susah dan jerih perit ketika membesar.
Mungkin anda diluar sana dibesarkan dalam keadaan yang mungkin sedikit mewah, senang dan tidak melalui keperitan seperti ini, tetapi adakah anda pernah belajar menghargai syiling 10 sen dan syiling 5 sen? Inilah didikan pertama mengenai kewangan yang saya lalui ketika kecil dulu.
Ketika menggenggam syiling 50 sen saya berasakan nilai itu amatlah besar dan amat menyeronokkan bagi kanak-kanak berusia 9 tahun ketika itu. Jadi saya mengambil iktibar dengan pengalaman lalu dan hari ini saya mula tahu betapa pentingnya pengurusan kewangan.
Jika anda juga pernah melalui pengalaman seperti saya, apakah yang akan anda lakukan kepada anak-anak kelak mengenai kewangan?
Ini ada sedikit panduan yang boleh dikongsikan kepada anda:
Berikan mereka wang saku
Memberikan wang saku boleh membantu membina keupayaan anak merancang perbelanjaan. Bagi memutuskan berapa banyak yang perlu diberikan kepada mereka, fikirkan dengan teliti jenis perbelanjaan yang boleh digunakan untuk wang saku itu. Misalannya, bagi belanja sekolah, elok kalau anda pergi tinjau harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah sebelum memutuskan berapa banyak wang saku yang diperlukan oleh anak anda.
Jika perlu, berikan wang saku dalam beberapa pecahan wang bagi menggalakkan mereka menabung. Misalannya, jika wang saku RM2, berikan anak anda wang kertas RM1 manakala selebihnya dalam bentuk wang syiling supaya dia boleh mengasingkan beberapa keping wang syiling untuk dimasukkan ke dalam tabung.
Tentukan matlamat yang realistik
Berbincanglah dengan anak anda mengenai matlamat mereka kerana itulah kunci kejayaan dalam menabung. Matlamat tabungan anak anda mungkin merupakan sejenis barang permainan yang istimewa, buku, basikal atau permainan Play Station yang terkini. Walau apa pun, matlamat itu mestilah realistik dan boleh menggalakkan mereka untuk menabung.
Walau bagaimanapun, berbincang dengan mereka dahulu. Matlamat itu mestilah matlamat mereka, bukannya matlamat anda. Kemudian, tinjau kos barang yang hendak dibeli itu dan congak berapa banyak anak anda perlu menabung setiap minggu bagi membeli barangan tersebut dalam satu jangka masa. Pastikan ia munasabah…
Bagi anak yang masih kecil, alat pandang dengar boleh membantu. Gunting gambar yang diperlukan dan lekatkan pada sebuah balang. Sambil dia memasukkan wang ke dalam balang itu setiap hari, dia boleh tengok wangnya semakin bertambah dan tidak lama lagi bolehlah dia mencapai matlamatnya. Anak yang lebih besar boleh menyimpan rekod simpanan dalam buku nota dan buat pengiraan setiap minggu.
Didik mereka mengenai nilai pelaburan
Memulakan tabiat menabung dan melabur sejak awal merupakan kunci kepada perancangan kewangan yang berjaya. Jika boleh, setiap kali anda ke bank untuk berurusan atau untuk melabur dalam unit amanah, bawa sekali anak-anak dan bukalah akaun simpanan untuk mereka. Laburkan sebahagian daripada wang simpanan mereka dalam dana amanah dan ajak mereka sama-sama melihat perkembangan pelaburan itu.
Walau bagaimanapun, jangan halang hak anak anda untuk mengeluarkan sedikit wang simpanan atau pelaburan mereka untuk membeli sesuatu kerana, jika anda menghalang mereka, mungkin akan melemahkan minat mereka untuk menabung atau melabur. Yang perlu dilakukan ialah memberitahu mereka bahawa jika wang simpanan dikeluarkan sebelum matlamat mereka tercapai, maknanya lebih lamalah masa yang akan diambil untuk mencapai matlamat mereka. Jika mereka mengeluarkan simpanan setelah mencapai matlamat mereka, itu juga merupakan pilihan mereka sendiri.
Pendek kata, tak kiralah sama ada mereka mahu mengeluarkan wang simpanan sebelum mencapai matlamat mereka (sekiranya berlaku kes kecemasan atau ada barang yang mereka perlukan segera) ataupun tidak, terpulanglah kepada mereka keputusan sepenuhnya dan untuk mereka memahami kesan mengeluarkan wang itu pada masa tersebut.
Didiklah keluarga anda mengenai kewangan hari ini! ![]()
Popularity: 9% [?]
Sphere: Related ContentComments
5 Responses to “Bagaimana Ayah Mendidik Saya Mengenai Wang?”
Got something to say?





















































kalo saya… dah tentu saya akan ajak mereka pergi seminar azizi ali. kecik2 dah pergi seminar?? miahahahaaa…
wahhhh itu sudah bagus… tapi anak-anak leh pikup ker dengan seminar azizi ali tu?
kalo ada inisiatif yang lebih kreatif lagi dari azizi ali berkenaan membawa kanak2 ke seminar berkaitan pengurusan kewangan, mungkin boleh diaplikasikan.
apohal sekalipun bak kata pakar kewangan ilmu pengurusan kewangan memang tidak diajar di sekolah.
lagipun kita banyak terdedah dengan kemewahan untuk berbelanja dengan kad kredit. tidak mustahil suatu hari nanti kanak-kanak ada kad kredit.
miahahahaha… apa yang saya cakap nih???
Belikan anak-anak permainan 101 Cashflow by Robert T.Kyosoki
satu contoh didikan yang baik.
belajar cash flow