Persoalan ASB - Wajib Zakat atau Tidak?

January 22, 2007

Persoalan mengenai ASB mendapat perhatian daripada Jawatan Kuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor, justeru keputusannya adalah seperti berikut;

* Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut:

*.i. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB

Keputusannya: Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syarak.

*.ii. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah.

Keputusannya: Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syarak, maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.

Maka dapatlah disimpulkan di sini seperti berikut:

Sekiranya sebelum ini kita melabur tanpa mengetahui hukumnya, maka kita dianggap tidak tahu. Namun setelah mengetahui keterlibatan pelaburannya yang tidak syarie, adalah salah dan berdosa untuk terus terlibat dengannya. Seakan-akan kita reda dan bersetuju malah memberi sokongan kepada sesuatu yang tidak dibenarkan syarak.

Zakat simpanan memang perlu dikeluarkan daripada wang simpanan tersebut kerana ia adalah wang kita yang telah mencapai haul dan nisab zakat.

Namun pertambahan yang terhasil daripada simpanan tersebut (dividen, bonus dan lain-lain) tidak perlu dizakat kerana ia terhasil daripada urusniaga yang tidak syarie. Motif zakat adalah menyucikan harta yang halal kerana perkaitannya dengan hak golongan asnaf dan bukan menyucikan harta yang status asalnya memang tidak halal untuk dihalalkan.

Dividen dan bonus yang terhasil masih perlu dikeluarkan supaya ia tidak lagi berkembang (dilupuskan). Melupuskannya melalui pembayaran hutang atau pinjaman pelajaran, bermakna kita masih mengambil manfaat daripada harta yang tidak syarie.

Jadi cara terbaik adalah dengan menyalurkannya kepada pertubuhan awam atau pertubuhan berkaitan khidmat sosial yang memerlukan dana seperti pertubuhan sukarela yang bertindak dalam waktu-waktu kecemasan, bencana alam atau sebagainya (kemaslahatan awam).

Bukan dengan niat sedekah atau amal jariah, sekadar satu bentuk pemberian dan sokongan terhadap khidmat sosial mereka yang menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status agama, bangsa dan sebagainya.

Popularity: 7% [?]

Sphere: Related Content

Comments

5 Responses to “Persoalan ASB - Wajib Zakat atau Tidak?”

  1. piji on January 22nd, 2007 9:04 pm

    Apakah yg terselindung di sebalik post anda ini? Sebagai seorang pelabur ASB, bagi saya post anda mengandungi maksud tersirat dan saya terdetik, apakah sebenarnya tujuan anda membuat post sebegini. Bagi saya, tidak ada manusia yang membuat kerja sia-sia, termasuk anda, dan saya yakin anda mempunyai tujuan menyampaikan kepada umum bahawa ASB adalah tidak halal dan sebagai seorang Islam tidak boleh melabur di dalamnya. Jika benarpun tuduhan anda, sila lampirkan bukti-bukti yang jelas dan kukuh. Senaraikan syarikat yang mana ASB melabur di dalamnya, termasuklah perniagaan teras dan bukan teras yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Bukanlah sesuatu yang bijak jika hanya mengeluarkan kata-kata, tetapi tanpa bukti yang jelas dan kukuh. Prinsip keadilan harus ditegakkan walaupun Internet adalah dunia tanpa sempadan. Keluarkan salinan fatwa berserta tarikh dan peruntukan yang jelas, dan ingin saya tegaskan di sini, dakwaan anda “Jawatan Kuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Selangor” mengeluarkan fatwa tersebut adalah TIDAK BERASAS tanpa bukti yang jelas dan kukuh. Selami prinsip dan objektif ASB sebelum anda mengeluarkan post yang boleh menyebarkan kekeliruan dan seterusnya mencantas harapan yang disemai oleh pelabur-pelabur, terutamanya pelabur BUMIPUTERA menerusi skim ASB, yang juga akan mencantas harapan untuk meningkatkan ekonomi kita seluruhnya. SILA SEDAR.

  2. Azahari on January 23rd, 2007 7:56 am

    Betul cakap Piji tu…elok juga kalau diletakkan sumber yang sah atau diambil dari petikan mana untuk tatapan semua & bagi mengelak kekeliruan. Pada pendapat saya tujuan penulis tidak lain hanya ingin berkongsi maklumat yang mungkin tak semua tahu, cuma bukti tidak lengkap.Saya percaya kalau dapat disertakan bukti, orang yang membaca akan lebih yakin.

    Apapun, dari dulu lagi saya memang tak berapa yakin dengan ASB ni kerana cerita-cerita yang saya dengar sebelum ni…tapi terpulanglah kepada diri sendiri :)

  3. Noorizam Shah on January 23rd, 2007 8:32 am

    piji sumber di petik dari : sini

    memang elok kita muzakarah kalau untuk kebaikkan. Saya menulis bukan menjatuhkan hukum sebaliknya ingin berkongsi maklumat bersama pembaca.

    ok mari kita lihat majlis fatwa perak pula. klik sini sini

  4. piji on January 23rd, 2007 6:45 pm

    Terima kasih di atas respon dan rujukan yg diberikan. Sekarang terpulanglah kepada pendapat dan persepsi masing-masing, kerana permasalahan ini sebenarnya bukanlah menjurus kepada keputusan yang hakiki tetapi pilihan individu.

  5. Ceritera Dunia - Noorizam Shah dot com | Fatwa Terkini Berkenaan Pelaburan Dalam ASB on February 4th, 2008 10:39 am

    […] Jadi, selepas ini, kalau ada yang mengatakan skim pelaburan ini adalah haram, maka silalah guna atau rujuk kepada fatwa yang terkini (dulu saya pernah tulis post mengenai status ASB wajib zakat atau tidak) […]

Got something to say?